COACH CAPTAIN turned TRUCKER (small time BLOGGER)

Sabtu, 12 Mac 2011

NAK TIDUR DI MANA MALAM NI ?

timber to Australia

Teringat satu waktu dulu, di Pasir Gudang,Johor. Sedang abang menunggu barang-barang yang dipunggah keluar dari kontena, seorang dari pemandu forklift di situ bertanya, "Malam ni terus balik ke Penang ke, bang?"


Abang jawab; "Tak, kena tidur semalam pasal tak sempat nak drop kontena kosong ni".

Dia semakin ramah; "Abang tido hotel mana nanti?"

Sambil tersengih, abang jawab; "Hotel seribu bintang"

Dia ternganga;" Hotel apa tu bang? saya pernah dengar setakat tujuh bintang je".

"Tido kat kawasan rehat la"; jawab abang.

"kat wakaf tu,ke?"; dah semakin keliru agaknya dia. Meneka di mana abang dan semua pemandu lori tidur selama ini.

Ceritanya ringkas, tapi abang nak berkongsi dengan yang tak pernah tahu, di mana pemandu lori perjalanan jauh ini tidur bila matahari terbenam meninggalkan kelam.


Setiap lori perjalanan jauh (long haul), mempunyai satu ruang khas sebesar katil bujang (rasanya lebih besar) untuk pemandu melelapkan mata bila sampai waktunya.

yang warna kuning tu bantal busyuk abang
Ia terletak di bahagian belakang tempat duduk pemandu.
Dilengkapi tilam (selalunya jenis spring) setebal 4 hingga 6 inci.
Pada ketika lori itu masih baru, ia dilengkapi dengan selimut sekali.
Cuma bantal je kena bawak sendiri.


upper head compartment VOLVO FM12 Globetrotter
Di bahagian bumbung terdapat kompartmen untuk meletakkan pakaian dan peralatan yang perlu bagi dagang perantau, musafir lalu seperti kami ini.


interior SCANIA R 730 - scania.com

Di dalam kabin prime mover  buatan eropah yang terbaru, kelengkapannya lebih mewah sehinggakan tak terfikir oleh kita.
Terdapat coffee brewer, microwave oven serta kelengkapan audio visual yang serba canggih. 

Kami akan berhenti di tempat yang sesuai dan barang tentu selamat untuk melelapkan mata selepas seharian meredah kejauhan.
Selalunya, kami akan meletakkan kenderaan besar dan panjang ini di Kawasan Rehat Dan Rawat.
Tempat yang diketahui paling selamat, paling tidak kepada pengguna lalulintas yang lain.

RnR Temerloh arah Kuantan
Lori yang berhenti di tepi lebuhraya atau jalan persekutuan untuk tidur mengundang risiko dirempuh belakangnya oleh kenderaan lain, terutamanya motorsikal.

Memang abang pun pernah parking  dan tidur di tepi jalan, tetapi pastikan kawasannya cukup luas, mempunyai sekurang-kurangnya sedepa bahu jalan yang meminimakan kemungkinan kenderaan lain merempuh lori yang abang pandu sewaktu sedang enak dibuai mimpi dicekik hantu.

Satu lagi ikhtiar adalah dengan tidak memadamkan lampu sewaktu parking di tepi jalan. Agar pemandu lain dapat melihat ada sebuah lori sedang berhenti disitu.

Tak padam lampu? Tak habis kuasa bateri ke?
Jangan risau, abang tak mematikan enjinnya pun. Kan nak tidur dalam hotel seribu bintang, kena la pasang hawa dingin.
Nak hawa dingin, kena hidupkan enjin laa..


Tak naik temperature  ke,bang? Ada juga yang pernah bertanya.
Enjin diesel tidak akan panas walau berapa lama pun kita menjalankannya tanpa bergerak (idling) kecuali ada kebocoran tangki air ataupun minyak enjin tidak mencukupi.

Pernah lori yang abang pandu tidak dimatikan enjinnya selama 2 minggu, kerana perjalanan tanpa henti pergi dan balik dari Kawasan Industri Kerteh, Terengganu ke Pelabuhan Kelang.

Walaupun sewaktu berhenti samada untuk makan minum atau berehat maupun tidur, abang tidak ragu-ragu untuk tidak mematikan enjin kerana berdasarkan pengalaman selama ini, enjin diesel (terutamanya jenis Turbo) amat sensitif jika enjinnya terlalu kerap dihidupkan dan dimatikan.

Malahan telah menjadi amalan abang selama ini, selepas enjin dihidupkan, abang akan menunggu sehingga tolok kepanasan (temperature gauge) mencapai tahap suhu bekerja (working temperature) baharulah abang mula bergerak. (kebiasaanya dalam lingkungan 80 darjah celcius).

Begitu juga sewaktu hendak mematikan enjin jenis turbo ini, memerlukam sekurang-kurangnya 15 minit enjin melahu (idling) barulah dimatikan enjinnya.

Dengan amalan sedemikian, syukurlah sehingga ke hari ini, selepas hampir 20 tahun, belum pernah lagi enjin kenderaan yang abang kendalikan mengalami kerosakan total (major breakdown) atau istilah kami enjin kong.

Huiii.. dah melalut nih.. Nak cerita pasal tidur pun dah terbawa-bawa cerita tentang enjin pulak.





Best  tau tidur diatas tilam empuk 6 inci berselimut tebal dibawah seribu bintang ni.

Pagi esoknya kami akan dikejutkan, samada dengan bunyi buzzer penggera yang memang telah siap dipasang di dalam kabin ataupun dengan bunyi hon dari kawan-kawan yang terlebih dahulu bangun.

Bukan kenal pun, tetapi seperti sudah menjadi amalan yang tidak pernah tertulis di mana-mana, sesiapa yang terlebih awal bangun, akan membunyikan hon kepada rakan-rakan seperjuangan yang masih enak diulit intan.

Teh tarik RnR Temerloh yang sedap dan MURAH !
Selepas mandi ala kadar di tempat yang disediakan disetiap RnR itu serta menunaikan apa yang wajib, biasanya abang akan bersarapan apa yang ada (teh tarik wajib!) sebelum menyambung perjalanan ke destinasi yang dituju.

suatu malam yang mendamaikan di Pantai Awana Kijal, Terengganu
Sekiranya di tepi jalan biasa, tidurnya kami semalam, sebaik bangun cuma dapat mencuci muka dengan air paip yang diisi dalam botol mineral, menggosok gigi dan meneruskan perjalanan sementara menemui hentian yang bersesuaian untuk mandi dan sarapan.

Meraga Beris, Truck Stop. One of the BEST hands down by far
Itulah rutin harian kami, pemandu-pemandu lori perjalanan jauh (disebut juga sebagai Road Warriors  di Amerika Syarikat) yang sentiasa dalam kerinduan pada anak isteri dan keluarga.
Hanya panggilan telefon atau sekadar menatap gambar kenangan buat penawar sepi di perjalanan.

Seiring masa dan teknologi yang berkembang, semakin ramai pemandu lori sudah memilikki telefon bimbit 3G untuk membuat panggilan video kepada keluarga tersayang.
Lebih baik lagi, ada yang sudah mempunyai komputer riba buat mengakses internet dan menatap wajah-wajah tersayang melalui Yahoo Messenger  atau Skype.

Lebuhraya Pantai Timur

Perjalanan masih panjang, lebuhraya lurus terbentang di depan sana, apakah esok masih ada lagi untuk kami menyusuri liku-liku kehidupan?

Sebuah cerita, suatu kisah, tentang sebilangan manusia biasa yang memilih jalan hidup berbeza latarnya.

'A tribute to those Unsung Heroes,all The Road Warriors - safe journey home'


Tambah mana yang kurang, ambil mana yang lebih.

Tuliskan walau hanya sebaris ayat tanda kehadiran anda di ruang ini...