Pernahkah semasa anda memandu atau menunggang motorsikal sambil mengekori sebuah lori atau kenderaan berat di Jalan Persekutuan, terdapat sesetengah darinya menyalakan lampu isyarat (signal) kanan atau kiri sedangkan kelajuan kenderaan berat di hadapan anda masih sama?
Tiada tanda-tanda ia akan membelok memasuki simpang atau hendak berhenti di tepi jalan.
Kenapa ya? Saja suka-suka nak main lampu signal?
Ok di sini abang nak cerita kenapa.
Kebanyakan pemandu lama sebaya abang, mendapat ilmu dari Taucu kami yang terdahulu.
Pesan mereka, "Kita yang memandu kenderaan berat ni harus sentiasa memberi peluang kepada kenderaan ringan untuk memotong sekiranya ada ruang yang sesuai"
Caranya dengan menyalakan lampu isyarat kiri sekiranya ada kenderaan lain yang mengekori rapat di belakang sedangkan laluan dari hadapan tiada kenderaan atau kelihatan kenderaan dari hadapan masih jauh dan suasananya selamat untuk mereka memotong.
Sebaliknya pula, signal kanan akan dinyalakan jika laluan dari hadapan terdapat kenderaan lain yang mendatang.
"Kenapa pula? Kami kan ada mata, tak perlu lah nak ajar kami bila boleh memotong, bila pula tak boleh. Kami pun ada lesen laa..." mungkin ada yang menjawab begitu.
OK, fine. Kami pemandu kenderaan berat bukan nak mengajar anda bila dan bagaimana hendak memotong kami. Cuma kami ingin memberikan sedikit bantuan.
Bantuan dalam bentuk isyarat yang jelas sekiranya laluan yang kita sama-sama kongsikan itu adalah laluan yang terdapat beberapa selekoh atau agak berbukit. Kami yang berada di hadapan anda dapat melihat dengan lebih jelas apa yang ada di hadapan kerana kami berada di tempat pemandu yang lebih tinggi. Kabin pemandu kenderaan berat sentiasa lebih tinggi dari kenderan biasa kecuali kabin pemandu bas dua tingkat yang sama tinggi dengan van.
Tambahan pula jika anda memandu kereta mengekori kenderaan berat yang tinggi, rapat di hadapan, apa yang anda nampak di laluan bertentangan hanya lah 20 peratus dari apa yang kami nampak.
Harapan kami, sekiranya lampu signal dinyalakan, ia akan memberikan keyakinan kepada pemandu lain samada ia boleh memotong dengan selamat atau sebaliknya.
Usah risau, seandainya anda memotong namun ruang yang ada sudah menjadi terhad (kerana kesilapan pemandu kenderaan berat yang memberikan signal kiri) dia pasti akan menekan brek memperlahankan kelajuan untuk memberikan ruang kepada anda melepasi kenderaannya.
Signal kanan juga akan dinyalakan seandainya terdapat halangan di hadapan, contohnya terdapat kenderaan lain yang sedang berhenti untuk masuk ke simpang rumahnya, atau pun terdapat kerja-kerja yang menganggu laluan biasa di hadapan.
Namun amalan menyalakan signal ini sudah tidak lagi menjadi perbuatan biasa di kalangan pemandu kenderaan berat di negara ini sekarang. Hanya segelintir sahaja yang masih melakukannya, termasuk abang sendiri.
Ramai pemandu zaman ini yang keliru dengan lampu isyarat yang dinyalakan. Ada kereta yang terus memperlahankan kelajuan sebaik saja abang menyalakan lampu signal kiri tanda laluan selamat untuk memotong. Sangka mereka abang hendak berhenti atau memasuki simpang agaknya? Sedangkan laluan itu tidak pun mempunyai simpang atau bahu jalan yang selamat untuk berhenti.
Bila di berikan signal kanan tanda laluan masih belum selamat untuk memotong, ada yang memotong dari sebelah kiri pula! Sehinggakan sampai sanggup turun di bahu jalan untuk memotong. Sangka mereka, abang hendak masuk ke simpang kanan?
Serba salah di buatnya samada hendak memberikan isyarat sedemikian lagi.
# Kepada yang memotong selepas mendapat isyarat sedemikian, jangan lupa bunyikan horn dua kali (dua kali, tau!)
Makna : Tin (terima) Tin (kasih). Anda akan membuat pemandu kenderaan berat itu merasa dihargai. Dan dia pasti akan membalas dengan horn juga! Phooon! (Air Horn - jangan terperanjat pula... hehe)
Tambah mana yang kurang, ambil mana yang lebih.
Tinggalkan jejak kehadiran anda walaupun hanya dengan sebaris ayat...