COACH CAPTAIN turned TRUCKER (small time BLOGGER)

Sabtu, 21 Januari 2012

BILA PEMANDU LORI MERASA SEPERTI DIHINA ...








Beberapa hari lepas, abang dalam perjalanan pulang dari Kota Damansara. Seperti biasa, laluan ke Utara melalui separuh jalan atas dan separuh jalan bawah untuk menjimatkan perbelanjaan tol yang mahal itu.



Dari Plaza Tol Kota Damansara, abang memandu melalui lebuhraya PLUS dan keluar di Plaza Tol Tanjung Malim.
Selepas melalui Jalan Persekutuan dari Tanjung Malim, abang masuk semula di Plaza TOL Gopeng.
Ketika itu waktu sudah menginjak ke dinihari, kira-kira jam 2 pagi.
Sebaik masuk ke lebuhraya mata mula menjadi layu. Lantas abang tidak mahu mengambil risiko lalu singgah di Hentian Sebelah Simpang Pulai untuk melelapkan mata.

Abang meneruskan perjalanan sebaik matahari tersenyum di pagi itu. Kemudiannya singgah di RnR Sungai Perak untuk sarapan pagi.

Abang meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya PLUS sehingga ke Plaza Tol Kamunting.

Tiba di situ, abang menghulurkan Tiket Transit PLUS dan menunggu paparan digital untuk menunjukkan jumlah yang perlu dibayar.

Digital Display

Tunggu punya tunggu, masih belum terpapar apa-apa. Abang pun bertanya kepada Jurutol yang bertugas (seorang wanita sebaya abang), "kenapa lama sangat ?"
Jawabnya, "sekejap..."
Abang pun tunggu lagi... Kenderaan lain sudah semakin banyak berbaris di belakang lori yang abang pandu. Malah ada yang mula membunyikan hon.
Abang merasa seperti ada sesuatu yang tak kena bila wanita penjaga gol tol itu bercakap sesuatu dengan seorang yang lain melalui  interkom.
"Apa masalah ni ?" tanya abang.
Masih dengan jawapan seperti tadi, "sekejap..."

"Ait ? Dari tadi asyik sekejap, sekejap ?" macam ada sesuatu, tapi tak nak diberitahu.

Dia kelihatan keberatan untuk menjelaskan apa yang sedang berlaku. Namun selepas didesak oleh abang, akhirnya dia menjelaskan bahawa dia sedang memeriksa gambar lori yang abang pandu dari Plaza Tol Gopeng kerana waktu yang diambil terlalu panjang selepas memasuki lebuhraya dari sana sehingga keluar di Tol Kamunting. Kira-kira 8 jam katanya.

kamera


Lalu abang bertanya, "kenapa pulak? Bukan kah waktu maksima adalah 20 jam ?" seperti yang tertera di Tiket Transit. (sejak dari mula Lebuhraya PLUS dibuka dulu )

Katanya mereka harus memeriksa apakah memang benar abang memasuki Plaza Tol Gopeng atau abang telah menukar tiket dengan pemandu lori lain.

Huh ! Ini umpama tuduhan dalam diam. Terasa diri terhina amat dengan andaian yang sebegitu. Mungkin perkara sedemikian ada berlaku, tapi rasanya ini bukan caranya untuk menangkap penipu dalam urusan tol.

Walaupun masa yang diambil agak lama, tak terfikirkah mereka yang terdapat kira-kira 5 buah tempat rehat di antara Plaza Tol Gopeng dan Kamunting ? Untuk apa tempat rehat itu dibina jika kami pemandu lori perjalanan jauh tidak dapat singgah untuk tidur atas alasan dikhuatiri akan dituduh menukar tiket?

Ini bukan kali pertama abang singgah tidur sehingga melebihi masa yang logik di antara plaza tol berkaitan. Tapi inilah kali pertama abang seolah 'dituduh' menukar tiket transit secara tidak langsung.



Mungkin bagi mereka, itu adalah tugas. Tapi bagi abang secara peribadi, tuduhan tanpa asas seperti ini amat menjatuhkan maruah sebagai seorang manusia.

Tambahan pula di atas setiap tiket transit (untuk lori) akan ditulis dengan nombor pendaftaran lori kami dengan menggunakan marker pen.

Sebagai jalan penyelesaian tanpa perlu menimbulkan perbalahan dan rasa tidak puas hati bukankah lebih baik menggunakan Kad Transit seperti yang telah dipraktikkan di laluan Utara mulai Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang.

Plaza Tol Sungai Dua


Di situ, kita akan diberi sekeping kad menyerupai kad kredit di mana gambar kenderaan yang kita pandu bersama nombor pendaftaran terdapat di dalamnya(gambar itu diambil sebaik kita berhenti untuk mengambil tiket transit).
Sebaik kita tiba di Plaza Tol yang berikutnya, kad itu akan dimasukkan kedalam mesin pengimbas dan serta merta gambar yang terpapar akan dibandingkan dengan gambar terkini kenderaan yang sedang berhenti di plaza tol itu. (kamera dipasang menghadap kenderaan di setiap lorong plaza tol )

bersusun kamera


Yang peliknya, kenapa terdapat kaedah berbeza sedangkan PLUS memilikki keseluruhan laluan dari Utara ke Selatan Lebuhraya itu ?

EDIT (Update)  : Mulai Jun 2013 (lebih setahun selepas Entry ini ditulis) PLUS telah menyeragamkan sistem Kad Transit di semua plaza tol lebuhraya laluan Utara Selatan dan ELITE.


Tambah mana yang kurang, ambil mana yang lebih. Tinggalkan jejak kehadiran anda walaupun hanya dengan sebaris ayat...
Comments
Comments