COACH CAPTAIN turned TRUCKER (small time BLOGGER)

Rabu, 9 Mac 2011

SAPA NAK TARIK NI?

malaysiabackpacking.com



Kemalangan dan kerosakan memang seboleh-bolehnya sentiasa hendak kita hindari .
Bagaimana pun, ia terjadi juga pada ketika yang tak disangka.
Dalam penuh waspada pun ia berlaku.
Memandu dengan sehabis cermat pun, kenderaan rosak juga.
Beringat sehabisnya, orang lain pula yang melanggar kita

Bila terjadi perkara yang amat tidak seronok ini, kita perlukan bantuan.
Untuk mengalihkan kenderaan ke tempat yang sepatutnya.
Ke bengkel umpamanya, untuk dibaiki enjinnya atau ke Balai Polis untuk membuat laporan.

Sabak Bernam,Selangor
Pada ketika ini khidmat trak penunda adalah pilihan paling wajar.
Walaupun begitu, ada yang mengambil inisiatif dengan meminta bantuan rakan atau sudara mara menarik kereta yang rosak dengan menggunakan tali atau rantai.
Sebenarnya cara ini adalah salah dari sudut undang-undang lalulintas.
Malahan amat merbahaya, kerana kenderaan yang ditarik itu tidak lagi mempunyai sistem brek yang berfungsi sepenuhnya.
Ini disebabkan oleh pam servo brek tidak dapat mengepam minyak brek dalam jumlah yang secukupnya kerana enjin tidak dihidupkan.
Stereng pula akan menjadi lebih berat dari biasa tanpa bantuan kuasa hiraulik, juga kerana enjin tidak dihidupkan.

boniface.com
Untuk kenderaan berat pula, boleh dikatakan semuanya jadi lumpuh apabila enjin tidak dapat dihidupkan.
Ini disebabkan kenderaan berat masa kini berfungsi dengan sistem tekanan angin sepenuhnya.
Bermula dari parking brake  sehinggalah kepada klac dan gear.
Stereng tak usah cerita lah. Bayangkan bagaimana hendak memulasnya dengan kudrat tenaga tanpa bantuan kuasa hidraulik.
Walaupun kenderaan berat yang lebih lama tidak menggunakan stereng bantuan kuasa, namun kenderaan masa kini yang telah dilengkapi stereng bantuan kuasa, sistemnya menjadi begitu berbeza sehinggakan hampir mustahil untuk diputar menggunakan tenaga manusia biasa apabila ia gagal berfungsi atau tanpa enjin dihidupkan.

Kenderaan penunda, biasanya dipanggil tow truck  di tempat kita.
Di luar negara juga dikenali dengan nama recovery truck. Di sesetengah tempat, juga digelar big rigger.

Ia datang dalam set sebuah lori dengan beberapa kelebihan dan peralatan.
Model yang lebih awal menggunakan kabel, sistem takal dan palang (boom) yang terjulur kebelakang.

Kuala Kangsar,Perak
Apabila proses hendak menunda kenderaan, rantai besi akan dililit pada axle  hadapan/ belakang kenderaan.
Kemudiannya kabel yang mempunyai cangkuk dihujungnya akan disangkutkan pada rantai besi tadi.
Bahagian yang bersentuhan dengan kabel dan badan kenderaan akan dilapik dengan kayu.

Kerjanya memang agak rumit dan melecehkan.
Tambahan pula. semasa kenderaan sedang ditunda, akan ada bahagian hadapan yang bergesel dengan kabel. Ini akan lebih merosakkan bahagian-bahagian tertentu.

Sungai Dua, Seberang Perai
Bas terutamanya, yang mana terdapat fibreglass di bahagian hadapan lebih ketara kerosakan disebabkan oleh trak penunda jenis ini.
Pernah terjadi, hingga pecah berderai cermin hadapan kerana tekanan dari kabel trak penunda.
(sedangkan bas itu cuma rosak enjin nya, bukan kemalangan)

Jalan Kapar,Klang
Alternatif kepada trak penunda jenis itu, datanglah yang lebih canggih menggunakan sistem hidraulik sepenuhnya.
Kebanyakan trak penunda jenis ini menggunakan boom yang rendah. Separas axle  kenderaan sahaja.

Seberang Jaya
Boom yang berbentuk huruf T akan diletakkan dibawah cesi hadapan (atau belakang) lalu dipasang pin keselamatan yang diikat dengan bolt dan nat khas. 
Urusan memasangnya menjadi lebih simple. Paling penting ia tidak akan merosakkan mana-mana bahagian kenderaan kerana tiada bahagian trak penunda itu yang bersentuhan dengan kenderaan yang ditundanya kecuali dibawah cesi sahaja.
Pengendalian trak penunda jenis ini juga lebih stabil kerana boom  itu berfungsi seperti sebuah treler.
Kenderaan yang ditunda juga tidak terbuai-buai berbanding menggunakan kabel tadi.

hijaurimba2.blogspot.com
Untuk kereta pula, sejenis boom  yang berbentuk huruf H biasanya digunakan
(kereta zaman ni mana ada axle  lagi,kan?)
Boom yang berbentuk H tadi, akan dimasukkan kebawah tayar hadapan/belakang kereta yang hendak ditunda kemudiannya diangkat keatas.

Mungkin ada yang pernah tertanya-tanya, kenapa sesetengah kereta ditunda dari belakang.
Lazimnya kereta yang ditunda dari hadapan adalah kereta pacuan roda hadapan.
Yang pacuan roda belakang akan ditunda sebaliknya.
Ini untuk mengelakkan dari sistem gear di pemacu akhir (shaft) menjadi rosak.

Untuk kenderaan berat pula, selalunya shaft  dari gearbox  pada axle  belakang akan ditanggalkan terlebih dahulu sebelum memulakan proses menunda.

boniface.com
Terdapat juga trak penunda yang mempunyai sedikit lagi kelebihan iaitu boleh bertidak seperti kren.
Bezanya dengan kren biasa, ia tidaklah mempunyai boom  yang panjang, cuma sekadar cukup untuk mengangkat kenderaan yang terbalik.

ondscene.my
Fungsi dua dalam satu ini menjimatkan masa dan perbelanjaan untuk menyewa dua jenis kenderaan khas seperti ini.
Walaubagaimana pun, sekiranya kenderaan yang terbalik itu terlalu berat atau berada di kedudukan yang terlalu jauh dari jalanraya, kren tetap diperlukan.

Pemandu trak penunda ini adalah sekelompok lagi pemandu lori yang mempunyai kemahiran khusus.
Kecekapan mengendalikan peralatan hidraulik dan takal serta dapat memandu dengan sebuah lagi kenderaan yang ditunda (kadangkala sebuah lori treler- yang penuh dengan muatan) adalah kelebihan yang tidak semua pemandu boleh melakukannya.

Seberang Jaya Pulau Pinang
Kenderaan penunda ini jarang kita perdulikan kehadirannya di atas jalanraya sehinggalah kita memerlukan khidmatnya.

Mudahan kita tidak akan perlukan khidmatnya sampai bila-bila.

 # Tuliskan walau hanya sebaris ayat tanda kehadiran anda di ruang ini.