COACH CAPTAIN turned TRUCKER (small time BLOGGER)

Jumaat, 4 Mac 2011

Apa bezanya YOU shift DENGAN I -Shift ?

VOLVO FM12 Globetrotter 420 I-Shift

Memang la berbeza, pasal bukan you  yang drive     lori treler ni, kan?


Ada yang pernah tanya, ada yang dah tahu, ada yang tak mau tahu, tapi abang nak jugak bagi tahu. (perasan nya...)

Sebenarnya lori pun ada juga sistem gear Auto Manual Transmission (AMT).
Macam pernah dengar ya? Alaa.. yang kat BMW tu, steptronic kan? Kat Savvy pun ada jugak AMT.

Pemandu boleh memilih mana yang lebih selesa untuk dia memandu.

volvotrucks.com

Bagi versi abang ni, model yang nak diceritakan tertumpu pada prime mover VOLVO I-Shift. (model lain pun ada juga dengan nama yang tersendiri - tapi abang tak reti la nak cerita benda yang abang tak pernah cuba)

Volvo I-Shift mula diperkenalkan kepada dunia pada tahun 2002
Satu sistem penukaran gear tanpa pedal klac yang termaju setakat ini.
Huruf (i) merujuk kepada perkataan INTELLIGENT.
Maknanya I-Shift bekerja secara bijak dengan bantuan microprocessor technology  yang dibina di dalam sistem komputer prime mover  itu.
(ada komputer tau -tapi tak boleh la nak online    baca blog)



Canggih ke?
Sangat canggih (pandangan peribadi abang) jika dibandingkan dengan sistem gear automatik pada kebanyakkan kereta biasa juga Trak dan Bas.

Kenapa abang katakan begitu?
Kebanyakan kereta dengan gear auto  akan menukar gear mengikut tetingkat dari gear terbawah (contohnya gear 1) dan naik setingkat demi setingkat sehinggalah ke gear teratas (contohnya 4/5 dan kadang-kadang ada overdrive)

Berbeza dengan Volvo I-Shift yang sebenarnya masih sebuah kotak gear Manual yang mempunyai microprocessor technology  dimana satu  Grade Sensor  yang akan bekerja menukar dan mencari tingkat gear yang paling sesuai untuk berat muatan dan rupa jalan apabila prime mover  hendak mula bergerak maupun sedang bergerak.

Volvo FM12 380 I-Shift
Ceritanya begini;
Sekiranya cuma prime mover  sahaja tanpa sebarang treler, I-Shift akan mula bergerak dengan gear 1 tetapi sebaik sahaja Grade Sensor mengesan tiada beban pada enjin, I-Shift akan terus melompat ke gear 5 dan terus bergerak tanpa sedikit pun terasa renjatan atau perubahan bunyi di dalam kotak gear.
Selepas itu seandainya prime mover  berhenti di persimpangan jalan contohnya, I-Shift akan menyimpan memori untuk bergerak semula dengan gear yg ke 5.
Sekiranya dengan beban treler dan kontena I-Shift akan menggunakan gear yang paling sesuai untuk berat yang berbeza.
Katakan lah gear 3 yang digunakan untuk mula bergerak, seterusnya I-Shift akan mencari gear yang paling sesuai setiap kali takometer (RPM) menjejak ke hujung garisan hijau untuk melancarkan pergerakan selalunya dengan melompat satu atau dua tingkat gear.
Dari 3 kepada 5, kemudiannya 7, seterusnya 9, lebih laju sedikit terus ke gear 11 dan paling atas gear ke 12. Kedudukan gear terkini dapat dilihat pada satu skrin LCD di dalam kotak meter.

Untuk pengetahuan juga, I-Shift mempunyai gear mengundur (R) dengan 4 kelajuan.
Setiap satu tahap gear boleh dipilih oleh Pemandu dengan memicit butang (+) dan Paparan Digital akan menunjukkan kedudukan setiap tetingkat Gear samada R1, R2, R3 atau R4.
(Abang pernah cuba sekali, tapi dengan Prime Mover sahaja ~ Kalau ada treler, rasanya risiko untuk Jack-Knife amat tinggi, hehehe...)


Pada setiap waktu kita akan dapat melihat takometer berada dalam garisan hijau dimana penggunaan bahanapi adalah sangat optimum serta kuasa yang digunakan amat bersesuaian dengan keperluan prime mover  itu.
Setiap kali rev  meter turun lebih bawah dari garisan hijau, I-Shift akan turun setingkat atau dua kepada gear yang paling sesuai untuk mengekalkan kuasa pada enjin tanpa membuatkan pemandu terasa apa-apa renjatan sekadar terdengar perubahan pada bunyi enjin sahaja.



Pada bila-bila masa sekiranya pemandu memerlukan kuasa untuk menaikkan rev/rpm pada enjin, satu sistem yang dipanggil Kick-Down boleh diaplikasikan.
Caranya dengan menekan rapat pedal minyak ke lantai, dengan serta merta gear akan menurun ke paras paling sesuai untuk menjana kuasa yang diperlukan,contohnya untuk memotong kenderaan lain.

Juga terdapat I-Shift Free-Wheel system yang mana kedudukan gear akan berubah kepada neutral (N) sewaktu Volvo yang kita pandu mencapai kelajuan yang telah ditetapkan jika menggunakan Cruise Control dengan tuil suis VEB diletakkan pada kedudukan (A)
Contohnya jika kita telah set kepada kelajuan maksima 80 km/j, apabila laluan agak menurun dan kelajuan Volvo yang dipandu melepasi garis 80 km/j maka dengan secara automatik I-Shift Free-Wheel akan diaktifkan. Enjin akan melahu dalam kelajuan melepasi takat maksima setting tadi, dan akan kembali ke kedudukan gear teratas (12) sebaik saja kelajuan kembali kepada 80 km/j dengan tiada sebarang renjatan atau raungan enjin. Di sinilah antara penyebab kepada penjimatan bahanapi yang optimum.

Untuk menuruni bukit pula I-Shift dilengkapi dengan satu lagi sistem yang dikenali sebagai VEB (Volvo Engine Brake)
Satu lever  yang dipasang di sebelah kanan di bawah stereng berupa seperti lever  lampu signal.

VEB - volvotrucks.com

Apabila ditarik lever  itu kepada tingkat yang sesuai (ada 5 tetingkat termasuk 1 auto VEB serta extra VEB) I-Shift akan mengekalkan kedudukan gear pada kelajuan yang paling tepat untuk menuruni bukit dengan dibantu oleh Brake Program Mode pada microprocessor.
VEB juga digunakan sebagai auxilarry brake      apabila hendak memperlahankan kelajuan tanpa menekan pedal brek.
Walau bagaimana pun, Pemandu masih boleh menurunkan tetingkat gear kepada kedudukan paling sesuai dengan beban dan kelajuan menuruni bukit, kerana I-Shift akan ''mencadangkan'' atau ''bertanya'' apakah kita mahu menurunkan tetingkat gear dengan menunjukkan paparan berupa ''anak panah'' yang bergerak di sebelah penunjuk kedudukan gear pada Digital Display. Terpulanglah pada pilihan masing-masing.

economy & performance button - volvotrucks.com

Juga terdapat dua mode pemanduan pada I-Shift.
Economy dan Performance.
Pilihan pada pemandu tahap mana yang paling sesuai untuk digunakan.

Sekiranya pemandu terasa ingin menukar gear secara manual  pula, terdapat satu kedudukan pada lever  I-Shift untuk pemanduan cara manual  tanpa perlu menekan pedal klac (memang takdak pedal klac pun)

Bila setting  ini digunakan, pemandu cuma perlu memicit satu punat kecil di lever  I-Shift menggunakan ibu jari.
Picit bahagian yang bertanda (+) untuk menaikkan tingkat gear. Picit (-) untuk menurunkan tingkat gear.

AMT button - volvotrucks.com

Pada satu-satu masa tidak dibenarkan melebihi 3 tingkat gear untuk naik atau turun.

Apa pun, abang tidak pernah merasa lebih intelligent dari I-Shift walaupun beberapa kali cuba menggunakan AMT mode ini.
Penukaran gear memang lancar, tetapi kita tidak pernah berada di kedudukan yang paling tepat, membuatkan pemanduan tidak selancar menggunakan I-Shift sepenuhnya.

Biarkan I-Shift dengan Intelligent nya membuat penukaran gear untuk kita.
Bukankah itu sememangnya tujuan asalnya ia dicipta?
Malahan setakat Entry ini ditulis, belum ada lagi mana-mana Jenama lain yang dapat menandingi I-Shift dalam segmen Trak & Bas.

P/s : Who says REAL Man should drives with THREE Pedals? Less is MORE!


Tambah mana yang KURANG, ambil apa yang LEBIH.
Comments
Comments