Jalan Ladang Tebu terbesar di Malaysia |
Kebelakangan ini abang sering ke 'kilometer zero' atau 'Utara-Utara' dalam bahasa Radio Amatur.
Kebiasaannya atas urusan menaikkan barang-barang untuk diangkut ke lokasi lain di Selatan Semenanjung.
Barang-barang tersebut datang dari Negara Thailand yang berjiran dengan kita di Utara. Keseluruhan barangan dibawa masuk melalui jalan darat menggunakan lori-lori dari sana.
Agak berbeza binaan dan model lori atau prime mover dari Thailand yang masuk ke Negara kita. Kelihatan pelbagai varian yang berasal dari Jepun tetapi agak berlainan modelnya dari yang terdapat di Malaysia.
Terdapat banyak lori dan prime mover mereka yang menggunakan bahanapi CNG menggantikan diesel yang sudah barang tentu amat menjimatkan dan lebih mesra alam.
Bagi model 10 roda yang kebiasaanya dari jenis Isuzu, agak menghairankan pada abang, kerana mereka masih menggunakan tayar jenis tiub walaupun jenamanya MICHELIN. Mungkin mereka ada alasan tertentu menggunakan tayar jenis tiub sedangkan perjalanan mereka melebihi 1000 kilometer tanpa henti dari Bangkok ke Bukit Kayu Hitam.
Yang jenis Treler pula, kebanyakannya dari jenis FLATBED atau lantai rata tanpa dinding. Barangan yang dibawa pula kelihatan amat tinggi tetapi masih sampai dalam keadaan sempurna walaupun tiada dinding yang menahan di kiri kanan serta belakang treler.
Abang amat kagum dengan cara pemandunya mengendalikan kenderaan mereka. Yang pastinya mereka amat cekap untuk mengekalkan barangan yang begitu tinggi dapat berada dalam keadaan stabil untuk perjalanan yang memakan masa hampir 20 jam tanpa henti.
Terdapat juga model ROAD TRAIN yang mempunyai 24 roda. Model unik ini memerlukan kemahiran khusus untuk dikendalikan dengan sempurna. Tidak seperti trailer biasa, model ini patah di bahagian tengah selepas bahagian badan hadapan lori apabila mengambil selekoh. Di sinilah kemahiran diperlukan untuk memastikan bila waktunya stereng diputar setiap kali mengambil selekoh dan persimpangan.
Apabila hendak mengundur pula, abang rasa lebih lagi kemahiran diperlukan kerana kedudukan roda yang berderet itu pasti lebih menyukarkan pengendaliannya.
Apa pun jua, setiap kali abang bertemu wajah dengan pemandu lori dari Thailand ini, kelihatan mereka begitu komited dengan tugasan. Tidak terbayang riak keletihan atau bosan dengan jarak pemanduan yang begitu jauh.
Abang berpendapat, mereka mempunyai sikap positif dalam menjalani tugasan harian, walaupun jika diukur dari upah yang diterima masih lebih rendah dari apa yang kami perolehi sebagai pemandu lori di Malaysia.
Untuk dibandingkan dengan jenama lori juga, mereka masih menggunakan model tanpa cabin suspension yang sudah tentu akan melambung-lambung ruang kokpitnya setiap kali melalui jalan yang tidak rata di negara mereka.
Abang merasa bersyukur kerana jalanraya kita jauh lebih elok berbanding Thailand (berdasarkan pemerhatian sewaktu kesana dan pengakuan pemandu lori dari Thailand juga) dan juga dapat memandu prime mover berjenama Eropah yang lebih canggih dari mereka.
Apatah lagi pemandu di sini mendapat upah yang jauh lebih lumayan berbanding jarak perjalanan yang lebih dekat.
seatbelt please... |
Bersyukurlah dengan apa yang ada, sementara kita masih memilikkinya.
Tambah mana yang kurang, ambil mana yang lebih.
.