Terus-terang, abang tak biasa memandu lori jenama SCANIA secara totally on the road. Pernah sekali, lama dulu, mencuba SCANIA 113M atau panggilan manja 'Scania petak' sewaktu remaja di Shah Alam. Itupun sekadar di laluan kawasan industri. Kelajuan cuma lingkungan 25km/j.
Minggu lepas, abang terima sebuah Prime Mover 10 roda dengan treler 3 axles untuk perjalanan baru.
Model lama, SCANIA 124L dengan 420 kuasa kuda buatan tahun 2000. Dibawa masuk ke Malaysia sebagai recondition unit dan didaftarkan semula pada tahun 2007. Senang cerita,selepas 7 tahun digunakan di Britain, kemudiannya bekas tangan orang lain selama 3 tahun pula di sini.
Banyak yang tidak sempurna, tapi masih dalam keadaan elok untuk dipandu kecuali beberapa bahagian yang perlu dibaikpulih sedikit demi sedikit.
Perjalanan abang dari Utara ke Selatan Semenanjung pergi dan balik. Nampaknya seperti sirih pulang kegagang. Kembali mengukur jarak lebuhraya seperti sebelumnya.
Sudah agak lama tidak dapat menjenguk blog rakan-rakan kerana sedang cuba menyesuaikan diri dengan tugasan baru. Tambahan pula dengan perjalanan terus menerus tanpa henti, membuatkan agak sukar untuk menumpukan perhatian pada komputer riba apabila tiba waktu senggang.
Abang cuba untuk update status di Facebook sekali sekala dan mobile blogging setakat yang termampu sebelum terlelap di ruang tidur semasa rakan seorang lagi meneruskan perjalanan kami.
Terima kasih untuk rakan-rakan baru yang menjadi follower blog abang, serta rakan facebook yang sering memberikan kata-kata semangat dan peringatan agar selalu berhati-hati di perjalanan, setiap kali abang update status.
Setiap kali melalui laluan bayangan maut, abang sering teringat kisah-kisah yang dipaparkan oleh Abang Sham On D Scene. Keadaannya masih seperti yang pernah abang komen sedikit waktu dulu. Masih terdapat mendapan di sana sini kesan dari kenderaan lebih muatan di lorong paling kiri sekali. Malahan pada malam kedua perjalanan ke Selatan minggu lalu, abang hampir-hampir terbabas di kilometer 435.5 dalam kelajuan 75 km/j dan muatan seberat 25 tan.
Malam ini abang akan ke Selatan lagi. Doakan perjalanan abang selamat dan sempurna.
Mudahan akan ada segaris masa untuk abang menaip lagi di sini.
Tambah mana yang kurang, ambil mana yang lebih.
Tinggalkan Jejak, Walaupun hanya sebaris ayat ...