Tak dak apa yang nak dikejar, urusan tu pulak dekat dengan Pengkalan Raja Tun Uda jadi abang ambil keputusan nak santai-santai.
Naik feri.
Jalan kaki.
KERETA sila ke kanan
Lama jugak abang tak naik feri dengan cara berjalan kaki ni. Dah tak tau pun berapa tambang dia. Seingat abang kali terakhir naik feri dengan cara ni, tambang dia 60 sen.
Naik melalui Penang Sentral, uii.. ada eskalator lagi ! Bagus untuk orang tua macam abang yang dah semput ni.
Masuk kat tempat nak bayar tambang, semua nampak masih tak banyak berubah. Mesin tu cuma terima duit syiling sahaja.
Ada kaunter untuk tukar syiling. Abang tukar seringgit tambah lagi 20 sen, baru boleh lalu. Dah naik dua kali ganda tambang dia sekarang.
Kat sini abang nak komen sikit.
Mesin ada 4 semuanya. Tiga untuk dewasa, 1 untuk kanak-kanak dengan separuh tambang. Masa abang lalu tadi, 1 mesin dewasa tak dibuka. Rosak ke atau sebab musabab lain, abang tak tau.
Ada satu lorong khas untuk tiket bulanan. Sesuai untuk yang pergi balik setiap hari kerana kerja di Pulau tapi tinggal di Tanah Besar.
Masalahnya, mesin tu cuma terima syiling, dan bila ditukar kat kaunter tu, dia bagi syiling 20 sen semuanya. Bayangkan...setiap orang kena masukkan syiling 20 sen satu persatu sebanyak 6 kali.
Seorang akan ambil masa kira-kira 5 saat hanya untuk masukkan syiling. Tu belum kira syiling reject. Dah kena ulang semula proses tadi.
Kena pulak pakcik-pakcik yang dah uzur (ramai jugak) terkial-kial nak selitkan syiling kat lubang saiz tabung unta arab malaysian tu. Lagi makan masa. Manusia makin ramai berbaris kat belakang. Lorong ada 3 saja, tak termasuk lorong khas yang lengang.
Apa rasionalnya ?:
1. Cuma ada 3 mesin sahaja, sedangkan begitu ramai yang menggunakan perkhidmatan feri. Waktu abang naik tadi, bukan waktu puncak. Hari kerja pulak. Pun masih manusia berbaris panjang.
2. Kenapa tukaran syiling cuma ada untuk 20 sen sahaja. Jika 50 sen, bukankah akan lebih menjimatkan masa ? Cuma 3 kali sumbat saja, dah settle. (2 kali 50 sen, 1 kali 20 sen = RM1.20)
Tak pun, guna token. Sekeping ja..macam nak naik helikopter Hazrey tu...
3. Alang-alang dah ada kaunter tukaran wang syiling, kenapa tak kembali kepada sistem lama, bayar di kaunter. Macam dulu-dulu. Cepat dan memudahkan. Siap ada tiket lagi, untuk kenangan. (sekarang dah takdak tiket)
Agaknya sapa la yang nak jawab ni....
Naik feri.
PULAU UNDAN yang sezaman dengan PULAU RAWA
Pulau Rawa. Feri lama, Undan Class. Made in Hong Kong. Tahun 1975 kalau tak salah abang. (sapa tau boleh betulkan)
Asal mula feri ni untuk kenderaan saja. Selepas Tragedi tahun 1988 dulu, semua feri yang khusus untuk penumpang dan kenderaan ditamatkan perkhidmatan kerana masalah ramp bahagian atas yang tidak sesuai untuk feri jenis itu.
Dalam feri masih tak berubah. Macam dolu-dolu jugak.
Dalam masa 15 minit, sampai Pengkalan Raja Tun Uda, kat Pulau.
(sebelah tanah besar Pengkalan Sultan Abdul Halim)
Ada signboard yang sepatutnya sesiapa yang pernah ambil ujian memandu sahaja boleh faham. Kat sini, orang jalan kaki pun ada lesen agaknya ya?
NO ENTRY ?
Hmm... Banyak kenangan terimbau bila naik feri kat tingkat atas dengan berjalan kaki ni.
Oh Ya... Lupa nak cerita.
Waktu balik, abang naik feri jugak. Tapi kali ni, PERCUMA !!
Kenapa ya?